Misteri Dan Hebatnya Makna Cantik



Misteri Dan Hebatnya Makna Cantik
Dunia Hiburanputrinazihah menulis "
 
Usah terkejut kalau ada orang melahirkan rasa hatinya
pada anda, sedangkan anda merasakan tiada apa-apa
istimewanya anda. Begitulah hebat dan misterinya
kehidupan. Ukuran manusia tentang kecantikan dan
ketampanan memang tidak pernah sama. Ada orang mabuk
dengan seseorang sedangkan menurut pandangan orang
lain, wajah semacam itu tidak patut dimabuk-mabukkan.
 
 
 
Misterinya suara hati memang sukar dibaca. Tidak ada
sebarang alat untuk mengukur makna cantik atau tampan
pada seseorang. Ukuran cantik atau tampan ini sentiasa
berlainan antara seseorang dengan seorang yang lain.
 
Maka itu, usah hairan jika seseorang wanita dinobatkan
sebagai ratu dunia, padahal ramai lagi wanita di
pejabat kita yang kita rasakan mengatasi kecantikan
ratu itu. Begitu juga, mungkin ada wanita di kampung
kita, kita rasakan lebih cantik daripada para model
yang popular. Sebab apa? Sebab persepsi kecantikan
tidak pernah sama antara manusia. Ada orang anggap
hidung yang sedikit mancung sebagai cantik, ada orang
tidak. Ada orang rambut yang mengurai sebagai cantik,
ada orang menganggap rambut yang ditutup sebagai
kecantikan yang mengatasi. Ada orang menganggap putih
melepak itu sebagai cantik ada orang suka yang hitam.
 
Ada orang mentafsirkan kecantikan itu mata yang bundar
tetapi ada orang merasakan yang sepet seperti Jepun
atau Cina itu yang lebih menawan. Ada orang menganggap
bibir yang nipis itu cantik tetapi ada juga orang yang
mengatakan bibir tebal lebih mengancam.
 
Di sebuah kawasan terpencil di utara Thailand,
terdapat sekelompok manusia yang mentafsirkan cantik
itu leher yang jinjang. Maka, para wanita memakai besi
lilit di leher untuk memanjangkan leher masing-masing.
Alangkah seksanya untuk menjadi cantik menurut
penilaian masyarakat ini.
 
Begitu juga di sebuah penempatan di Afrika, cantik
ditafsirkan mulut yang lebar. Semakin lebar mulut
semakin cantiklah mengikut ukuran kelompok ini. Maka
para lelaki dan para wanitanya memakai piring besi
berbentuk bulat di mulut. Piring ini ditukar kepada
yang lebih besar dari semasa ke semasa.
 
Begitulah misteri dan luasnya makna cantik dan tampan.
Jadi, usah terlalu susah hati jika anda merasakan anda
tidak begitu menarik. Anda tetap cantik di mata orang
yang mentafsirkan kecantikan itu bukan sekadar wajah
tetapi mungkin keseluruhan anda. Ini termasuklah gaya
jalan anda, cara nada bertutur, pendirian serta sikap
anda terhadap sesuatu perkara.
 
Jika anda belum mendapat teman bukan cantik
masalahnya, cuma anda belum bertemu dengan orang yang
mentafsirkan cantik itu menurut apa-apa kelebihan yang
ada pada diri anda.
 
Sebenarnya tiada manusia yang buruk, lantaran setiap
daripada kita ini dicipta oleh Tuhan yang Maha
Bijaksana. Masakan ciptaan Tuhan itu tidak cantik,
malah dalam islam kecantikan bukan terletak pada wajah
atau keturunan tetapi apa yang ada di dalam hati. Baik
sang hati baiklah seluruh badan, jahat sang hati
jahatlah seluruh badan. Agama menilai kecantikan itu
iman yang teguh, kukuh dan padu.
 
Siapa kita untuk mempertikaikan ciptaan-ciptaan TUHAN.
Sudah tentu kita tidak layak. Tetapi ramai orang
mempertikai TUHAN setiap kali menghadap cermin.
Berkacalah tatkala bercermin sebab dengan berkaca
cermin akan memberitahu anda apakah anda yang berdiri
di situ atau perasaan dan keegoan anda yang menampani.
 
Siapa anda, anda sendiri yang menentukan. Pandangan
manusia semuanya tidak sama. Sejuta yang mengatakan
anda tidak indah, sepuluh juta mungkin mengatakan yang
sebaliknya. Hanya anda belum bertemu muka dengan yang
sepuluh juta itu.
 
Itu saja yang membezakan.


Blogger Templates

No comments:

 
♥ 100% Oficially Nurul Farhanah efendi