SEREMBAN: Cubaan nekad seorang lelaki membuang mayat teman wanita yang dipercayai baru dibunuhnya, gagal apabila kenderaan dipandunya terbabas sebelum diberkas polis ketika dia cuba melarikan diri dalam kejadian di Nilai Spring, dekat sini, malam kelmarin.
Difahamkan, sebelum diberkas, suspek berusia 30-an cuba memperdayakan pihak berkuasa dengan memaklumkan kononnya wanita warga Indonesia berusia 20-an yang berada bersebelahannya itu pengsan.
Pembohongannya bagaimanapun tidak bertahan lama apabila dia mengaku membunuh mangsa dan mahu membuang mayatnya di sekitar Nilai selepas disoal siasat polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Zaki Masroh, berkata,dalam kejadian kira-kira jam 10 malam, lelaki yang memandu Perodua Kancil dari Bangi, Selangor, menuju Nilai dilihat berkelakuan mencurigakan oleh sebuah kereta peronda polis.
“Berikutan itu, anggota kami (polis) mengekori kereta terbabit di Nilai Spring dan suspek yang menyedarinya memecut kenderaan dalam usaha melarikan diri.
“Bagaimanapun, insiden mengejar itu berakhir apabila kenderaan suspek terbabas di tempat kejadian dan ditahan.
“Suspek berada dalam keadaan cemas dan seorang wanita berpakaian lengkap berada di kerusi hadapan kereta berkenaan seolah-olah tidur.
“Apabila ditanya, suspek memberitahu teman wanitanya itu pengsan, tapi pemeriksaan mendapati wanita berkenaan sudah meninggal dunia,’’ katanya di sini, semalam.
Menurut Zaki, siasatan awal polis menemui kesan jerutan di leher wanita warga Indonesia berkenaan, sekali gus tidak menolak kemungkinan mangsa mati dalam kereta suspek.
“Melalui soal siasat, suspek memaklumkan dia sebelum itu bergaduh dengan mangsa di Bangi dan mengaku membunuh wanita itu sebelum memandu ke Nilai untuk membuang mayat wanita terbabit,” katanya.
Beliau berkata, suspek ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Namun, siasatan awal kes yang dilakukan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan akan diserahkan kepada IPK Selangor berikutan kenderaan suspek turut didapati digunakan untuk melakukan jenayah di negeri terbabit.
“Selain itu, bagi tujuan siasatan, kami sudah menghantar laporan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment